
Jelasnya, seorang perunding hartanah dilantik pada 2012, yang menilai tanah itu pada harga RM13.02 sekaki persegi atau RM95.3 juta secara keseluruhan.
“Tiga syarikat menyertai proses tender terbuka dan keputusan dibuat untuk menjual tanah itu pada harga RM101 juta, 5.9% lebih tinggi daripada penilaian,” katanya dalam kenyataan semalam, tanpa mendedahkan nama syarikat terbabit.
Kenyataan itu menyusul pertemuan dengan penduduk Puchong, termasuk 14 persatuan penduduk dan Adun Kinrara, Ng Sze Han yang meminta penjelasan berhubung status tanah berkenaan.
Penjualan tanah itu dibantah penduduk, dengan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengkritik kerajaan Selangor atas kegagalan memberi maklum balas terhadap beberapa surat berkaitan perkara berkenaan.
Wong dilaporkan berkata, beliau telah menghantar tiga surat rasmi sejak Disember lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung penjualan tanah yang dirancang untuk pembangunan itu, tetapi tiada jawapan rasmi diterimanya.
Amirudin berkata, dakwaan berkaitan tanah itu berdasarkan maklumat salah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, tanah itu bukan sebahagian daripada hutan simpan kekal kerana ia dinyahwartakan pada 1926 ketika pemerintahan British.
Pada masa sama, jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang projek pembangunan di tapak itu.
Beliau berkata, projek perumahan kos rendah yang diluluskan pada 1996, ditolak pihak berkuasa tempatan atas faktor keadaan tanah tidak selamat pada 2003, sebelum dibatalkan kerajaan negeri pada 2010.
Susulan pembatalan itu, pemaju memulakan tindakan undang-undang dan kes itu akhirnya memihak kepada pihak berkuasa, yang mengukuhkan keputusan untuk menghalang pembangunan di kawasan berkenaan.
Amirudin berkata, penduduk mencadangkan laluan mendaki ke Hutan Simpan Ayer Hitam dikekalkan dan perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan.
“Perbincangan akan diadakan dengan pemilik tanah bagi memastikan keperluan rekreasi masyarakat setempat terpelihara.”
Katanya, keputusan mahkamah telah mengekalkan pendirian pihak berkuasa tempatan untuk tidak membenarkan pembangunan di tapak itu atas faktor keselamatan cerun.
“Keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memihak kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya, mengesahkan keputusan untuk tidak membenarkan pembangunan di kawasan itu disebabkan keadaan cerun.”