
Loke yang juga menteri pengangkutan, berkata keputusan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga membantu meredakan keadaan, susulan tindakan semua 14 Adun BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
Justeru, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin berjalan seperti biasa.
“Setakat ini tidak ada perkembangan terkini, saya rasa kita berjalan seperti biasa. Semalam juga pada (mesyuarat) Biro Politik Umno sudah mengeluarkan kenyataan walaupun dikatakan 14 ADUN itu hilang kepercayaan kepada menteri besar, tetapi masih sokong kerajaan perpaduan.
“Saya lihat kalau itu pendirian dibuat Umno, malah pada (mesyuarat) Kabinet semalam, presiden Umno sendiri menyatakan pendirian sama kepada Kabinet, maksudnya presiden Umno juga tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau tebuk atap.
“Jadi, maksudnya kerajaan sedia ada ini kekal kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjalanan pentadbiran pada peringkat negeri. Saya rasa itu dapat diperjelaskan dan akan membantu meredakan keadaan,” katanya menurut Berita Harian, di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Adun Chennah, mengambil pendekatan tidak mencampuri urusan itu berkaitan institusi adat dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri itu.
“Memang kita tahu ada isu belum selesai antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Luak. Jadi, itu sesuatu yang di luar kawalan kita, perlu diselesaikan dengan baik dalam institusi berkenaan.
“Kita tak boleh masuk campur, bagi kita di peringkat kerajaan adalah memastikan kerajaan berjalan seperti biasa. Menteri besar, exco, dan Adun, mereka berfungsi seperti biasa, bekerja seperti biasa. Itu saya rasa dapat memastikan kestabilan dapat dijamin.”