
Beliau berkata pendirian itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan semua Adun terbabit hari ini bagi meneliti semula keadaan sebenar serta memperbetulkan persepsi yang timbul.
Menurutnya, ada tafsiran berbeza terhadap tindakan mereka sebelum ini dan menjejaskan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bukan bertujuan ‘menebuk atap’ atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.

“Apabila ada persepsi dan pentafsiran yang berbeza daripada niat asal, saya telah mengadakan perbincangan dengan semua 14 Adun tersebut untuk melihat semula keadaan.
“Kita tidak berhajat untuk ‘retract’, sebaliknya mahu membetulkan persepsi iaitu ia satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID.
Isnin lalu, semua 14 Adun Barisan Nasional (BN)-Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang keyakinan terhadap menteri besar dari PKR itu.
Ketuanya Jalaluddin Alias berkata keputusan itu berkait dengan krisis berterusan membabitkan empat undang luak yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada kedudukannya.
Berhubung keperluan melantik menteri besar baharu di Negeri Sembilan, Zahid berkata perkara itu perlu dibawa ke meja rundingan antara pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata BN dan PH mempunyai perjanjian 18 perkara dan sebarang masalah harus diselesaikan secara bersama.
“Pada hemat saya, Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) selaku pengerusi PH sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama.
“Ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.