
Ketuanya, Jalaluddin Alias, berkata tiada sebab untuk BN ‘tebuk atap’ kerana Adunnya sebelum ini sebahagian daripada kerajaan, bukannya pembangkang yang mahu menjadi kerajaan.
“Kalau kita nak tebuk atap dari dulu kita dah tebuk dah. Tebuk atap maknanya daripada pembangkang nak jadi kerajaan. Tetapi kami dalam kerajaaan, saya exco kanan dan ada lagi tiga exco dan semua Adun BN dalam kerajaan, tak ada sebab kita nak tebuk atap.
“Isunya ialah kegagalan menteri besar menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan institusi, adat dan perlembagaan sehingga membawa kepada kemelut krisis diraja sekarang. Ini demi mempertahankan prinsip perjuangan parti,” katanya dalam sidang media.
Adun Pertang itu juga berpandangan antara langkah terbaik ketika ini adalah pembentukan kerajaan baharu atau membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
“Saya fikir eloklah kita serahkan balik kepada rakyat untuk buat mandat baharu yang mana DUN harus dibubarkan,” katanya.
Namun, beliau menegaskan segala keputusan lanjut bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras peruntukan perlembagaan negeri.
Semalam, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar dan menarik balik sokongan kepada negeri pimpinannya.
Susulan itu, lima Adun Perikatan Nasional menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 Adun Umno bagi membentuk kerajaan negeri baharu demi memastikan kestabilan pentadbiran.
BN Negeri Sembilan kemudian mengumumkan parti itu mempunyai majoriti mudah untuk bentuk kerajaan negeri, dengan sokongan daripada Adun PN tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan menuduh tindakan BN Negeri Sembilan mahu menubuhkan kerajaan baharu sebagai usaha ‘tebuk atap’.