
Beliau yang juga menteri kewangan, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan RM19.19 bilion atau 10.38%, berbanding angka pada tahun sebelumnya.
“Hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh, kerajaan telah dapat memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang telah tertunggak.
“Ia sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus,” katanya dalam ucapan merasmikan majlis sambutan Hari LHDN ke-30.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, dalam dunia dilanda ketidaktentuan ketika ini, LHDN perlu terus memperkukuh keupayaan analitik dan pendigitalan, termasuk memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat, dan diperkemas.
“Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, malah juga sistem percukaian yang lebih adil, telus, dan diyakini,” katanya.