DAP sedar pembangkang akan ambil peluang, Loke pertahan wakil rakyat

DAP sedar pembangkang akan ambil peluang, Loke pertahan wakil rakyat

DAP amat menyanjung tinggi dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, tegas Loke Siew Fook.

DAP Loke Siew Fook
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata wakil rakyat perlu diberi ruang menyampaikan pandangan dengan cara yang baik, beradab dan membina.
PUCHONG:
DAP sedar pembangkang akan mengambil peluang ke atas kenyataan Adun Seri Kembangan berhubung penternakan babi secara moden, meskipun Wong Siew Ki sekadar menjalankan tanggungjawabnya, kata setiausaha agung parti itu.

Loke Siew Fook mempertahankan hak wakil rakyat menyuarakan pandangan di DUN dalam cara yang wajar, daripada tuduhan bahawa DAP tidak menghormati institusi diraja.

“Kita menjunjung kasih kepada Tuanku. Pada masa sama, kita hanya menyampaikan pandangan alternatif yang bernas dan membina demi menyelesaikan isu rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam DAP Kinrara, malam tadi.

Loke membidas tekanan ke atas Wong, menegaskan wakil rakyat perlu diberi ruang untuk menyampaikan pandangan dengan cara yang baik, beradab dan membina. “Itu adalah tanggungjawab seorang wakil rakyat.”

“Kita amat menyanjung tinggi dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Itu tidak pernah menjadi persoalan.”

Pada 10 Feb lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.

Pada Rabu lalu, Wong ketika sidang DUN mencadangkan kerajaan negeri dan pelabur mempertimbangkan sistem penternakan babi tertutup dan moden, termasuk konsep “zero discharge” serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik.

Beliau berhujah penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain kerana risiko pencemaran, aspek kebersihan dan kesihatan adalah serupa merentasi semua jenis penternakan.

Cadangan Wong dikritik pelbagai pihak, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menyifatkannya sebagai tindakan yang biadab dan tidak menghormati institusi raja berperlembagaan.

Adun pembangkang turut cuba mengemukakan usul untuk merujuk Wong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Wong pada Khamis menjelaskan cadangannya itu berdasarkan pandangan sebahagian penduduk di kawasannya dan menjadi tanggungjawabnya untuk dibawa ke DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.