
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Zamakhshari Muhamad berkata, langkah itu seiring dengan pendirian kerajaan negeri yang mahu isu sosial membabitkan anak muda dinilai secara menyeluruh tanpa prejudis.
Beliau berkata, setiap penilaian berhubung isu lumba haram perlu dibuat secara adil, mengambil kira pelbagai sudut kajian serta penelitian dan tidak seharusnya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Menurutnya, walaupun tiada statistik khusus bagi menggambarkan tahap sebenar kegiatan ‘mat rempit’ di negeri itu, indikator paling hampir yang boleh dirujuk adalah melalui laporan tangkapan polis.
“Berdasarkan laporan itu, tiga negeri mencatatkan tangkapan tertinggi, iaitu Selangor, Johor dan Pulau Pinang, manakala Kelantan, Terengganu dan Perlis berada pada kedudukan paling rendah.
“Jika indikator ini diguna pakai, aktiviti ‘rempit’ di Kelantan hakikatnya berada pada tahap yang lebih rendah berbanding negeri lain,” katanya pada sesi penggulungan sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, lapor Bernama.
Meskipun begitu, Zamakhshari menegaskan kerajaan negeri tidak memandang enteng, sebaliknya tetap memandang serius isu itu dan komited menanganinya hingga ke akar umbi.
“Anak muda bukan masalah, sebaliknya aset negara yang perlu dibimbing. Usaha menangani isu ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa serta institusi pendidikan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, balai pelepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dijadikan litar lumba oleh ‘mat rempit’.