
Menteri Besar Amirudin Shari, berkata krisis perang yang menutup Selat Hormuz telah memberi kesan antaranya kepada bekalan bahan tenaga penting pengangkutan, baja, dan urea yang kritikal bagi penghasilan makanan, serta kimia dan helium yang merupakan bahan utama di hospital mahupun pembuatan semikonduktor.
“Bagi mendepani krisis ini, kerajaan negeri akan menyemak semula Belanjawan Negeri Selangor 2026 dengan memberikan fokus kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat yang terkesan, sokongan kepada industri, serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas,” katanya dalam kenyataan.
“Di peringkat kerajaan negeri, setiap jabatan perlu mengkoordinasi usaha serta program dan bekerja dalam mod krisis. Perang ini akan meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara dan Selangor, dan setiap warga Selangor perlu berganding bahu supaya kita bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi.”
Sejumlah RM3.23 bilion diperuntuk kerajaan Selangor dalam belanjawannya tahun ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang menilai beberapa aspek utama bagi menyediakan langkah segera membantu rakyat dan industri sebagai respon kepada kesan krisis perang.
Katanya, mesyuarat itu susulan kepada sidang meja bulat melibatkan pakar ekonomi dan industri yang berkongsikan pengalaman krisis lalu sebagai panduan.
Amirudin berkata, Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor ditubuhkan yang dipengerusikan bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad Ibrahim, bertujuan membantu kerajaan negeri merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya masih berterusan.
Pasukan petugas berkenaan merangkumi pakar berlatarbelakangan sosioekonomi, industri, tenaga, barang makanan, perbankan, dan akademia.
Amirudin menegaskan pentadbirannya akan menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali berkaitan urusan menggalakkan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor.
Beliau berkata, , kerajaan negeri akan memulakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15hb April dari Selasa hingga Khamis setiap minggu bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar serta kesesakan jalan raya.
Amirudin juga menggalakkan sektor swasta di Selangor melaksanaka BDR melihat kepada kesesuaian industri, dan kerajaan negeri bersedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital.