MIC kekal dalam BN ‘buat masa ini’, kata Saravanan

MIC kekal dalam BN ‘buat masa ini’, kata Saravanan

Timbalan Presidennya M Saravanan berkata perkembangan dalam Perikatan Nasional memerlukan parti itu menilai semula kedudukannya, khususnya selepas perubahan kepimpinan.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata parti itu tidak menolak PN secara mutlak.
KUALA LUMPUR:
MIC akan kekal dalam Barisan Nasional (BN) buat masa ini, kata timbalan presiden parti itu, M Saravanan, walaupun beliau masih berteka-teki sama ada ia akan menyertai gabungan pembangkang selepas ini.

“Kami kekal bersama BN buat masa ini,” katanya dalam sidang media hari ini di ibu pejabat parti.

Apabila ditanya sama ada ia bermaksud parti itu menolak Perikatan Nasional (PN), Saravanan berkata: “Tidak, saya tidak mengatakan begitu.”

Beliau berkata perkembangan dalam PN memerlukan parti itu menilai semula kedudukannya.

Saravanan berkata MIC tidak menolak PN secara mutlak, sambil menyatakan bahawa perbincangan sebelum ini berlaku di bawah kepimpinan yang berbeza.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai pengerusi PN bulan lepas, mengambil alih daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Januari.

“PN telah melalui beberapa perubahan. Ia dipimpin oleh Bersatu ketika kami membuat pertanyaan. Kini ia dipimpin oleh PAS,” kata Saravanan.

“Kami bukan sahaja perlu mendapatkan pandangan akar umbi, tetapi juga mesti memahami sentimen masyarakat India sekiranya mahu menyertai gabungan yang diterajui PAS.

“Sekarang selepas berlaku perubahan kepimpinan, kami mesti berhubung semula dengan akar umbi dan masyarakat India untuk memastikan sokongan mereka jika kami memutuskan untuk mengambil hala tuju yang berbeza.”

Beliau berkata parti itu akan meneliti semula perkara itu selepas memperoleh maklum balas.

Apabila ditanya sama ada MIC akan kekal dalam BN sehingga akhir penggal Parlimen sekarang, Saravanan berkata situasi masih boleh berubah.

“Tak dapat dipastikan. Buat masa ini, status quo kekal,” katanya.

Beliau berkata parti itu sedang mengekalkan komunikasi dengan semua pihak.

Kenyataan Saravanan dibuat seminggu selepas beliau menolak dakwaan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan bahawa parti itu secara rasmi telah menyertai gabungan tersebut.

Perbincangan mengenai kemungkinan MIC meninggalkan BN timbul sejak sekian lama, terutamanya selepas perhimpunan agung parti pada November apabila perwakilan memberikan mandat kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut susulan rasa tidak puas hati terhadap peranan dan relevan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.