
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, tinjauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan aliran trafik di arah utara, selatan dan Pantai Timur dalam keadaan terkawal.
“Hanya terdapat sedikit kepadatan kenderaan dikesan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban menghala ke arah Bandar Ainsdale, namun ia tidak menjejaskan kelancaran trafik secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, LLM menjangkakan baki kenderaan yang masih berada di jalan raya adalah terdiri daripada kumpulan pengguna yang memilih memulakan perjalanan pada saat-saat akhir menjelang sambutan 1 Syawal esok.
Sehubungan dengan itu, pemandu diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan memandu melebihi had laju bagi mengelakkan risiko kemalangan, serta mematuhi undang-undang jalan raya.
Pengguna turut dinasihatkan supaya mendapatkan rehat secukupnya di kawasan rehat yang disediakan dan memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi bagi melancarkan urusan di plaza tol.