Saravanan nafi MIC sertai PN

Saravanan nafi MIC sertai PN

Timbalan presiden MIC berkata kepimpinan parti masih belum memutuskan untuk menyertai gabungan itu walaupun setiausaha agung PN mendakwa sebaliknya.

Saravanan
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata Jawatankuasa Kerja Pusat masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai Perikatan Nasional.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan menolak dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan bahawa parti itu secara rasmi menyertai gabungan berkenaan.

Saravanan menegaskan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Tiada keputusan dibuat oleh MIC untuk menyertai PN. Saya sudah jelaskan sejak awal lagi…kita akan serahkan kepada CWC untuk membuat keputusan dan setakat ini CWC belum memutuskan apa-apa,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Tapah itu turut berkata, MIC tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai PN, sebaliknya hanya membuat pertanyaan berhubung parti komponen.

“Terdapat tawaran daripada bekas pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk MIC menyertai PN, jadi kami hanya mengemukakan pertanyaan,” katanya.

Saravanan juga berkata, beliau tidak mengetahui mengenai sebarang pertemuan dirancang antara Presiden MIC SA Vigneswaran dan Takiyuddin Hassan malam ini.

“Presiden tentu akan memaklumkan kepada saya,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin berkata penyertaan MIC ke dalam PN diluluskan oleh Majlis Tertinggi gabungan itu dan beliau akan bertemu Vigneswaran malam ini untuk menyerahkan surat rasmi mengesahkan penyertaan parti berkenaan.

Januari lalu, Vigneswaran berkata kepimpinan tertinggi MIC akan bermesyuarat untuk membincangkan penyertaan rasmi ke dalam PN walaupun gabungan itu telah meluluskan permohonan parti tersebut.

Perbincangan mengenai kemungkinan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) timbul sejak sekian lama, khususnya selepas perhimpunan agung parti pada November lalu apabila perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut susulan ketidakpuasan hati terhadap peranan dan relevan parti.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno berulang kali menolak spekulasi itu. Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata gabungan itu tidak menerima sebarang makluman rasmi daripada MIC dan menegaskan parti tersebut masih kekal dalam BN.

Pemimpin MIC juga menyertai sesi pemukiman kepimpinan BN baru-baru ini, sekali gus memberi gambaran parti itu akan terus kekal dalam gabungan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.