
Anwar berkata kerajaan sedar tuntutan itu muktamad dan tidak ada rayuan, namun perbincangan terperinci mengenainya perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara terbaik demi manfaat Sabah dan rakyat.
“Kita tidak merayu kes 40% dan itu sudah muktamad. Bagi pihak kerajaan, kami telah memberikan jaminan, ini komitmen yang tegas, dan keputusan dasar,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis buka puasa di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah.
Anwar berkata komitmen kerajaan untuk menunaikannya dapat dilihat menerusi pertemuan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican mewakili kerajaan persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Sabah Safar Untong mewakili kerajaan negeri, dalam memastikan perincian mekanisme pelaksanaan tuntutan dilakukan dengan lebih jelas.
“Jadi soal itu pada saya bukan lagi isu… yang ditanya adalah bagaimanakah pelaksanaannya,” kata beliau.
Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40% hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.