Pendedahan ekonomi Malaysia kepada konflik Timur Tengah minimum, kata Sim

Pendedahan ekonomi Malaysia kepada konflik Timur Tengah minimum, kata Sim

Timbalan menteri itu berkata perdagangan dengan Iran tahun lalu hanya menyumbang 0.09% daripada keseluruhan dagangan Malaysia.

Sim Tze Tzin
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata jumlah dagangan dengan Iran tahun lalu sebanyak RM2.45 bilion, kurang 0.1% daripada keseluruhan dagangan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Pendedahan ekonomi Malaysia kepada konflik Timur Tengah “sangat minimum”, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Jelasnya, jumlah dagangan dengan Iran hanya menyumbang 0.09% daripada keseluruhan dagangan Malaysia kerana Putrajaya mematuhi sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menjalankan perdagangan dengan Tehran.

Menurutnya, pendedahan dalam perdagangan gas asli cecair (LNG) dengan Iran juga sangat terhad kerana Malaysia menghasilkan minyak dan gas asli sendiri.

“Dagangan dengan Iran hanya 0.09% daripada keseluruhan dagangan Malaysia. LNG bukan antara lima produk dagangan utama. Kami mematuhi sekatan PBB, jadi kami hanya berdagang makanan dan komoditi dibenarkan.

“Dari segi LNG, pendedahan kita sangat sedikit kerana Malaysia merupakan pengeluar minyak dan LNG. Oleh itu, pendedahan Malaysia kepada konflik Timur Tengah sangat minimum,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, jumlah dagangan Malaysia dengan Iran tahun lalu sebanyak RM2.45 bilion, sebahagian besarnya daripada eksport berjumlah RM2.17 bilion.

Konflik di Timur Tengah semakin memuncak sejak serangan awal Amerika Syarikat dan Israel, dengan Iran melepaskan peluru berpandu ke pangkalan AS di rantau itu, bandar utama Israel dan kapal tangki minyak dikaitkan dengan negara Barat.

Kuasa serantau, termasuk Emiriah Arab Bersatu menyeru ketegangan dikurangkan, tetapi risiko perang lebih meluas masih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.