PKR keluar surat tunjuk sebab kepada Rafizi

PKR keluar surat tunjuk sebab kepada Rafizi

Ahli Parlimen Pandan berkata, surat itu berkaitan kenyataannya mahu pertahan kerusi pada PRU16, tetapi bukan sebagai calon PKR.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli tegaskan buat masa ini, beliau masih Ahli Parlimen PKR, dan kerusinya dalam Dewan Rakyat tidak boleh dikosongkan oleh speaker.
PETALING JAYA:
PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada bekas timbalan presiden Rafizi Ramli berhubung kenyataannya mengenai hasratnya mempertahankan kerusi Parlimennya pada PRU16, namun bukan dengan tiket parti itu.

Menerusi video dimuat naik di Facebook, Rafizi berkata, surat itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agong PKR Fuziah Salleh.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kenyataannya adalah mengenai perancangannya selepas Parlimen dibubarkan dan PRU16 dipanggil, menegaskan beliau bukannya mengumumkan keluar PKR.

“Selepas Dewan Rakyat bubar, saya tidak lagilah terikat dengan akta antilompat parti. Setelah saya tidak lagi jadi Ahli Parlimen (apabila Dewan Rakyat dibubarkan), terpulang pada sayalah nak buat apa.

“Selagi saya Ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar parti, atau isytihar saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai ahli PKR. Dan speaker tidak boleh memecat saya daripada Parlimen,” katanya.

Bekas menteri itu berkata, beliau akan membalas surat Fuziah bagi menerangkan pendiriannya, lalu menambah: “Selepas itu, (mereka) nak buat apapun, buatlah.”

Menurut Rafizi, PKR sebenarnya mahu beliau keluar parti secara sukarela agar kerusi Parlimennya dapat dikosongkan kerana sekiranya beliau dipecat, kerusi tersebut tidak terjejas.

Pada Ahad, Rafizi dilaporkan memberitahu Sin Chew, beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU16, namun kemungkinan besar bukan sebagai calon PKR.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perancangannya secara terperinci, hanya menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana ‘kuasa ketiga’, menubuhkan parti baharu, mahupun bekerjasama dengan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen dua penggal itu secara terang-terangan mengkritik PKR dan presidennya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden parti kepada anak Anwar, Nurul Izzah, tahun lepas.

Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara sebelum ini berkata, Rafizi kelihatan sedang mengatur posisinya dan hanya menunggu untuk dipecat PKR, walaupun parti itu mungkin tidak akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.