
Media diberitahu pindaan itu dirangka untuk mengambil kira tahun seseorang sudah berkhidmat sebagai perdana menteri, maka seseorang yang telah berkhidmat selama 10 tahun tidak boleh dilantik semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, memberi contoh Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Tambun Anwar Ibrahim sebagai contoh individu yang masih boleh berkhidmat sebagai perdana menteri sekiranya terpilih.
“Mungkin ada individu langsung tak bolehlah sebab dia dah lepas 10 tahun. Itu sebenarnya pindaannya,” katanya kepada pemberita selepas taklimat kepada wakil rakyat di Parlimen.
RUU pengehadan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Azalina di Dewan Rakyat, hari ini, sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026.
Di taklimat anjuran menteri di JPM tadi, Azalina menerangkan pengehadan ini berkenaan tempoh jawatan perdana menteri sahaja, manakala menteri besar dan ketua menteri adalah urusan negeri.