
Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan memaklumkan majlis tertinggi (MT) gabungan setuju dengan pengambilalihan itu.
Bagaimanapun, Takiyuddin, yang juga setiausaha agung PAS, memaklumkan perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat akan datang.
“Parti-parti anggota ini bersetuju kerusi ketua pembangkang dipegang oleh PAS sebagai parti terbesar di dalam Parlimen, tapi belum ada keputusan lagi dan PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat luar biasa MT petang tadi.
Perhatian tertumpu pada kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen susulan pemecatan beliau pada 13 Feb, kemuncak kemelut kepimpinan antara beliau dan Presiden Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan, berkata majlis pimpinan tertinggi parti beri mandat penuh kepada Muhyiddin untuk membuat keputusan berhubung calon ketua pembangkang baharu.