
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir Sabah meningkat kepada 5,141 orang daripada 2,160 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 4,761 daripada 1,828 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan, memaklumkan semua mangsa dari empat daerah, iaitu Pitas, Kota Marudu, Paitan, dan Tawau ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara.
Tawau diisytiharkan dilanda banjir pada 11.30 malam tadi susulan hujan berterusan, sekali gus menjadikan daerah berkenaan kawasan terbaharu terjejas.
Pitas merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2,120 orang diikuti Kota Marudu (1,929), Paitan (847), dan Tawau (245).
Banjir di keempat-empat daerah telah menjejaskan 80 kampung namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.