
Menolak dakwaan bahawa kongres itu hanya sia-sia, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu berkata kongres akan membolehkan perwakilan mengambil kira pandangan ahli dan penyokong parti di peringkat akar umbi.
Beliau berkata ini akan memastikan kepimpinan DAP dapat mendengar suara penyokong dan ahli ketika membuat keputusan mengenai kedudukan parti di Putrajaya.
“Bagi penyokong yang bukan ahli juga mereka boleh suarakan pandangan melalui ahli supaya ini jadi satu referendum dalaman parti atas satu isu yang penting,” katanya di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di pusat khidmat Padang Kota.
Ketika ditanya sama ada ahli DAP dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang akan meletak jawatan walaupun parti itu merupakan kerajaan memerintah, ketua menteri itu berkata perkara itu terpulang kepada kongres.
“Saya menerima arahan daripada parti mengenai perkara ini. Apa jua keputusan yang dibuat parti perlu dipatuhi oleh ahli parti,” kata Chow.
Kongres khas itu akan menyaksikan 4,000 perwakilan memutuskan sama ada pemimpin DAP perlu meletak jawatan daripada jawatan mereka dalam kerajaan perpaduan sambil terus menyokong kerajaan di Parlimen.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata ini merupakan kali pertama parti menyerahkan keputusan politik sebesar itu kepada perwakilan dalam kongres, dan bukannya diputuskan oleh CEC.
Bagaimanapun, bekas timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mempersoalkan kongres itu yang dianggapnya sebagai sia-sia kerana DAP akan tetap menyokong kerajaan perpaduan.
Chow menegaskan bahawa kongres itu semata-mata untuk mengukur sama ada ahli DAP masih mahu parti memegang jawatan dalam kerajaan selepas tempoh enam bulan yang diberikan untuk melaksanakan pembaharuan.