Rafizi jawab dakwaan rasuah RM2.5 bilion malam ini

Rafizi jawab dakwaan rasuah RM2.5 bilion malam ini

Dakwaan berkait projek solar swasta berskala besar 750 megawatt oleh UEM Lestra itu dibuat pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau Caprice.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli menyifatkan dakwaan beliau kononnya terbabit dalam penyelewengan kewangan berjumlah RM3.6 bilion sebagai tidak masuk akal.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan menjawab secara terperinci dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengannya, termasuk dakwaan terbabit dalam kes rasuah RM2.5 bilion.

Bekas menteri ekonomi itu berkata penjelasan penuh terhadap dakwaan oleh pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau Caprice itu akan dibuat dalam program audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) 10 malam ini.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Rafizi berkata tuduhan Caprice membabitkan projek solar swasta berskala besar 750 megawatt oleh UEM Lestra, yang ditegaskannya tidak ada kaitan dengan Kementerian Ekonomi diketuainya sebelum ini.

“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya.

“Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice,” katanya.

Rabu lalu, Caprice mempertahankan dakwaannya itu selepas Rafiz mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Beliau juga memuat naik beberapa tangkap layar serta dokumen menerusi media sosialnya sebagai bukti terhadap persoalan dibangkitkannya.

Selain dakwaan itu, Rafizi juga akan menjawab dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dunia, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata siasatan itu kononnya memfokuskan sama ada perjanjian berkenaan dimeterai secara tergesa-gesa dan merugikan negara, sehingga mencetuskan laporan media mengenai dakwaan salah laku bernilai RM1.1 bilion membabitkan seorang ‘bekas menteri kanan’.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

Menurut Rafizi, gabungan dua tuduhan itu membawa naratif beliau kononnya terlibat dalam penyelewengan kewangan berjumlah RM3.6 bilion, yang disifatkannya tidak masuk akal dan bersifat ‘overkill’.

“Saya dituduh terbabit kononnya dalam skandal yang nilainya melebihi nilai diambil (bekas perdana menteri) Najib (Razak),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.