
Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata eksport meningkat kepada RM146.87 bilion manakala import kepada RM125.5 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.37 bilion, melonjak 483.9% berbanding Januari 2025.
Produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport dengan pegangan 48%, susulan peningkatan ketara eksport sebanyak 39.5% kepada RM70.53 bilion.
“Prestasi ini selari dengan peningkatan permintaan global terhadap semikonduktor, didorong oleh kemajuan pesat dalam aplikasi kecerdasan buatan serta kitaran peningkatan teknologi yang berterusan,” kata Matrade.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof, berkata perkara itu menyerlahkan ‘daya tahan dan daya saing global pengeksport Malaysia’.
“Lonjakan eksport E&E, khususnya semikonduktor termasuk litar bersepadu elektronik, meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan unjuran pertumbuhan 26.3% pasaran semikonduktor global tahun ini.”
Matrade berkata Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit di hampir semua pasaran eksport utama, dengan eksport ke Asean, Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan secara kolektif menyumbang 68.2% daripada jumlah eksport negara pada Januari.
“Eksport ke AS mencatat pertumbuhan dua digit bagi bulan kedua berturut-turut, meningkat 33.9% kepada RM23.1 bilion, sekali gus merekodkan nilai tertinggi pernah dicapai bagi Januari.
“Begitu juga eksport ke China yang meningkat dua digit sebanyak 16.1% kepada RM15.47 bilion, manakala eksport ke Taiwan melonjak 79.4% kepada RM9.93 bilion, mewakili nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan,” katanya.