
Itulah realiti dilalui Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat, seorang sukarelawan yang lebih 18 tahun mengabdikan diri kepada masyarakat, tanpa mengira musim perayaan atau sempadan negara.
Mengimbas kembali kenangan pada 2020, Leong, 48, menceritakan bagaimana malam Tahun Baharu Cina yang sepatutnya penuh ketenangan berubah menjadi detik cemas.
Semasa keluarga sedang berkumpul, panggilan kecemasan diterima—kebakaran besar melanda tapak pelupusan sampah di Semeling yang berkeluasan 44 ekar.
“Malam itu kami baru makan separuh jalan. Kami tinggalkan hidangan, tinggalkan keluarga demi tugas,” katanya kepada FMT.
Operasi itu bukan sekadar satu malam, malah berlarutan selama 23 hari yang jika tidak ditangani boleh memudaratkan nyawa orang lain.
Setiap kali pulang ke rumah di pagi hari, badannya berbau busuk sampah, namun sedikit pun beliau tidak mengeluh. Bagi Beng Tat, falsafahnya mudah: “Makan bersama keluarga bila-bila masa pun boleh, tapi nyawa dan keselamatan masyarakat tidak boleh menunggu.”

Ujian banjir besar Hatyai
Leong turut berkongsi detik getir mengetuai misi bantuan banjir di Hatyai, Thailand pada November lalu. Selama lima hari, beliau dan pasukannya melalui ujian paling mencabar sepanjang menjadi sukarelawan bomba.
Bayangkan berada di tengah-tengah bandar yang lumpuh, tanpa talian internet serta alat perhubungan walkie-talkie, dan hanya bersandarkan kepercayaan mutlak sesama ahli pasukan.
“Tangan kami menggigil melihat senarai panjang hotel yang memerlukan bantuan. Ada warga emas kehabisan ubat, bayi kehabisan susu. Kami berlumba dengan masa,” ujarnya. Malah, ada ketika bot mereka terbalik dipukul arus hingga terpaksa menggunakan lori kontena sebagai ‘kenderaan penyelamat’.
“Syukurlah ada sebuah syarikat logistik sanggup menawarkan bantuan melihat rayuan kami di Facebook. Dengan bantuan sebuah lori kontena yang ditawarkan syarikat itu, bot-bot penyelamat mampu dibawa masuk meredah arus yang ganas itu,” katanya.
Walaupun penat dan berdepan kritikan netizen, senyuman mangsa banjir yang bersyukur menjadi penawar segala lelah dihadapi Leong.
Mewariskan semangat ‘Brotherhood’
Kini, perjuangan Leong bukan lagi sendirian. Beliau bangga apabila dua anak lelakinya, Leong Chun Pin, 24, dan Leong Chun Jie, 20, turut menyertai pasukan sukarela itu. Malah, beliau menjadikan PBS sebagai ‘sekolah kehidupan’ untuk menarik anak muda daripada terjebak dengan gejala samseng dan dadah.
Beliau percaya kerja amal adalah ubat terbaik untuk membentuk disiplin bukan hanya menghabiskan masa dengan gajet seperti kebanyakkan generasi “Gen Z”.
“Kita perlu tanamkan dalam diri anak muda bahawa masyarakat benar-benar memerlukan mereka. Semangat ‘brotherhood’ ini perlu diteruskan,” katanya lagi.
Makna sebenar Tahun Baharu Cina
Bagi Leong, Tahun Baharu Cina bukan sekadar tentang baju baharu atau hiasan mewah. Selepas melihat ramai rakan terkorban akibat wabak Covid-19, beliau sedar hidup ini singkat.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Bukankah lebih baik jika kita meninggalkan nama yang baik dalam masyarakat?,” katanya yang berazam meneruskan kerja kesukarelawan sehingga kudratnya masih berkemampuan.