
Exco Hal Ehwal Agama Islam Fahmi Ngah, berkata semakan dengan Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ) mengesahkan ‘tapak ganti’ yang disebut itu adalah tapak telah dizonkan sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam (Ribi), dan tidak pernah dicadangkan sebagai surau.
Beliau berkata, tapak ganti berkenaan bukannya tapak ganti kepada kuil sebagai gantian pencerobohan mereka, dan juga bukan pernah menjadi tapak surau yang diubah kepada tapak Ribi.
“Sebaliknya, tapak Ribi ini masih perlu dimohon oleh pihak kuil daripada MBPJ dan Pejabat Tanah Petaling, tertakluk kepada kelulusan agensi, sekiranya mereka berhasrat untuk menduduki tapak ini secara sah,” katanya dalam kenyataan.
Fahmi berkata, kerajaan negeri sudah ada perancangan, tindakan, dan garis masa khusus untuk merobohkan binaan tidak sah di tapak perkuburan Islam di PJS4.
Beliau turut menegaskan, tohmahan melulu seorang pengguna Facebook berkait ‘tapak ganti’ mencetuskan kebimbangan akibat persepsi tidak benar.
“Saya meminta semua pihak terlibat dalam isu ini, baik yang Islam atau bukan Islam agar bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan boleh menimbulkan sentimen perkauman negatif.
“Kerajaan Selangor komited menjaga tanah-tanah di bawah pengurusan dan tanggungjawab institusi Islam Selangor daripada segala bentuk pencerobohan dan salah guna,” katanya.