Hamzah yang patut berundur, bukan Muhyiddin, kata ketua penerangan Bersatu

Hamzah yang patut berundur, bukan Muhyiddin, kata ketua penerangan Bersatu

Perselisihan kepimpinan Bersatu makin meruncing apabila Tun Faisal Ismail Aziz mendesak seorang ahli MPT letak jawatan sebagai setiausaha Bersatu Sabah.

Muhyiddin dan Hamzah
Bersatu berlarutan dibelenggu pertelingkahan dalaman terkait perselisihan terbuka kepimpinan antara Presiden Muhyiddin Yassin, dan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menolak gesaan Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden, sebaliknya menyatakan timbalannya, Hamzah Zainudin, yang sepatutnya meletak jawatan.

Mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Yunus Nurdin, Tun Faisal berkata Hamzah gagal menjalankan tugas sebagai pengarah pilihan raya Sabah, merujuk kegagalan parti itu menang sebarang kerusi dalam PRN pada 29 Nov lalu.

Beliau turut menuduh Hamzah, yang juga ketua pembangkang, gagal mengawal penyokongnya dalam parti, sehingga menyebabkan mereka berulang kali melanggar disiplin dan perlembagaan Bersatu.

Walaupun Tun Faisal tidak menamakan sesiapa, namun dipercayai merujuk tindakan tatatertib terhadap beberapa pemimpin yang telah dipecat atau digantung, termasuk Ahli Parlimen Wan Saiful Wan Jan, Saifuddin Abdullah, dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Dari minta Muhyiddin Yassin berundur, lebih baik Yunus minta timbalan presiden yang berundur di atas kegagalan-kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya.

“Yunus sendiri sepatutnya meletak jawatan sebagai setiausaha Bersatu Sabah memandangkan beliau sebahagian punca kegagalan kita dalam PRN Sabah November lalu,” katanya dalam kenyataan.

Yunus antara pemimpin kanan Bersatu yang mendesak Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden bagi memberi laluan kepada Hamzah, susulan pertikaian dengan PAS mengenai dakwaan perjanjian memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin mendakwa PAS dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penyusunan semula gabungan itu, namun PAS menafikan perkara berkenaan pernah dibincangkan.

Yunus turut menuduh Muhyiddin membuat keputusan sepihak bagi Bersatu, sehingga mencetuskan keretakan dengan PAS yang merupakan sekutu utama dalam gabungan pembangkang.

Namun, Tun Faisal menegaskan Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan dan sebagai pemimpin Bersatu, Yunus sepatutnya memahami kuasa eksekutif presiden untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya daripada PAS, Hadi Awang.

Beliau juga menyatakan bahawa perbincangan antara Muhyiddin dan Hadi mengenai penyusunan semula PN masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.