Thaipusam: 12 persimpangan jalan di KL ditutup, dilencong mulai esok

Thaipusam: 12 persimpangan jalan di KL ditutup, dilencong mulai esok

Penutupan dan lencongan persimpangan jalan mula 9 malam dari kuil di Jalan Tun HS Lee ke arah Batu Caves.

Lebih 10 jalan di sekitar ibu negara akan ditutup, dilencong mulai esok hingga Selasa, beri laluan pedati diarak sempena Thaipusam.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 12 persimpangan jalan di sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula esok hingga Selasa ini bagi memberi laluan kepada perarakan pedati bersempena dengan sambutan Thaipusam pada 1 Feb ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Mohd Zamzuri Isa berkata, penutupan dan lencongan persimpangan jalan itu akan bermula pada 9 malam dari Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di Jalan Tun HS Lee menuju ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.

Beliau berkata, laluan terlibat antaranya persimpangan Jalan Leboh Ampang/Jalan Perak; persimpangan Jalan Tun Perak/Jalan Pudu; persimpangan Jalan Tun Tan Cheng Lock/Jalan Sultan; persimpangan Jalan Sultan/Jalan Hang Jebat; persimpangan Jalan Sultan/Jalan Petaling; dan persimpangan Jalan Sultan/Jalan Panggung.

Turut terlibat dengan penutupan dan lencongan ialah persimpangan Jalan Sultan/Jalan Tun HS Lee; persimpangan Jalan Hang Kasturi/Jalan Sultan Mohamed; persimpangan Jalan Munshi Abdullah/Jalan Dang Wangi; persimpangan Jalan Dang Wangi/Jalan Tuanku Abdul Rahman; persimpangan Jalan Raja Laut/Jalan Dang Wangi dan persimpangan Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail.

“Pergerakan balik bermula pada 2 Feb (pada) 3 petang dan dijangka tiba pada 3 Feb kira-kira 4 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan dengan itu, Mohd Zamzuri menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota polis trafik yang bertugas.

“Pematuhan arahan adalah penting bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.