Pemimpin PN tiba untuk mesyuarat di kediaman Muhyiddin

Pemimpin PN tiba untuk mesyuarat di kediaman Muhyiddin

Kelibat Presiden PAS Hadi Awang mahupun mana-mana wakil daripada partinya masih belum kelihatan.

Punithan Paramasiven
Presiden MIPP P Punithan bercakap kepada pemberita sebelum mesyuarat di kediaman Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR:
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Gerakan tiba di kediaman Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, malam ini bagi mesyuarat Perikatan Nasional yang menjadi tumpuan ramai.

Presiden MIPP, P Punithan, yang tiba pada 8.21 malam, beritahu pemberita bahawa perjumpaan tersebut merupakan ‘mesyuarat pramajlis’ sebelum mesyuarat majlis tertinggi PN bagi membincangkan hala tuju gabungan.

Presiden Gerakan, Dominic Lau, tiba pada waktu yang hampir sama namun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Setakat ini, kelibat Presiden PAS Hadi Awang mahupun mana-mana wakil daripada partinya masih belum kelihatan.

Perjumpaan malam ini dipanggil oleh Muhyiddin tidak lama selepas mesyuarat majlis tertinggi PN yang dijadualkan untuk malam ini dibatalkan.

Mesyuarat yang dibatalkan itu untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan, yang berkuat kuasa pada 1 Jan.

Difahamkan, Muhyiddin dan dua individu lain seperti Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin tidak diundang memandangkan mereka telah melepaskan jawatan dalam PN.

Bersatu bagaimanapun menegaskan Muhyiddin sepatutnya diundang memandangkan beliau masih presiden parti, dan merupakan timbalan pengerusi PN mengikut kelaziman.

Mesyuarat malam ini dijangka menyaksikan presiden-presiden parti PN membincangkan penstrukturan semula gabungan serta pindaan perlembagaan.

Dalam satu surat yang bocor semalam, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju untuk menghapuskan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula, dalam satu pertemuan di rumahnya lebih seminggu lalu.

Menurutnya, mereka juga bersetuju supaya majlis presiden yang diketuai Bersatu menjadi badan pembuat keputusan tertinggi PN, manakala majlis eksekutif yang diterajui PAS akan mengendalikan aspek pentadbiran.

Namun, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat pada 16 Jan tersebut.

Dalam surat berasingan yang dilihat oleh FMT, Presiden PAS, Hadi Awang, berkata pendirian parti itu adalah majlis presiden hendaklah bertindak sebagai ‘badan penasihat’, manakala majlis tertinggi kekal sebagai ‘majlis eksekutif’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.