
Presiden Mita, Mint Leong, berkata festival berkenaan, acara antarabangsa berskala besar pertama di negara ini dianjurkan sempena Hari Pekerja dan Tahun Melawat Malaysia 2026, bertujuan menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya yang selamat, stabil dan dinamik, di samping menghormati sensitiviti kaum dan agama.
Mengambil kira Hari Pekerja yang jatuh pada cuti umum dan keadaan trafik berbeza berbanding hari biasa, Leong berkata penganjur mempunyai pengalaman dalam mengendalikan acara berskala besar.
“Penutupan jalan adalah langkah profesional bagi memastikan keselesaan dan kelancaran (trafik) di kawasan tersebut. Ia tidak akan menjejaskan pengalaman, malah akan meningkatkannya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar menggesa penganjur supaya mempertimbangkan semula penganjuran festival itu, menyifatkannya sebagai ‘pesta jalanan luar negara’ dan memberi amaran bahawa penutupan jalan boleh melumpuhkan nadi bandar serta menjejaskan peniaga dan orang awam.
Beliau berkata Bukit Bintang, yang merupakan pusat komersial dan pengangkutan yang sibuk, tidak sesuai untuk festival muzik air terbuka berskala besar dan penutupan jalan selama tiga hari di kawasan itu akan memberi kesan besar terhadap mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai termasuk keluarga dan warga emas.
Sukri turut berkata acara besar seharusnya mencerminkan identiti Malaysia dan bukannya meniru model pesta jalanan luar negara yang mungkin tidak sesuai dengan norma tempatan.
Beliau memberi amaran bahawa format festival terbuka dan pesta jalanan itu mungkin bercanggah dengan nilai budaya tempatan, adab awam dan keharmonian sosial, memandangkan Malaysia sebuah negara berbilang kaum dengan majoriti penduduk Muslim.
Bagaimanapun, Leong berkata Hari Pekerja yang menjadi sambutan antarabangsa untuk menghargai golongan pekerja tidak mempunyai bentuk perayaan yang tetap dan tidak terikat dengan tradisi etnik tertentu, sekali gus membolehkan ‘kreativiti tanpa batasan’.
“Sambutan pelancongan Hari Pekerja selama tiga hari yang belum pernah dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan ini bertujuan keluar daripada kerangka tradisional dan mewujudkan era baharu penganjuran acara yang inklusif serta interaktif untuk semua rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa.
“Mita berharap kementerian dapat menampilkan kepelbagaian budaya, toleransi beragama, perpaduan dan keterbukaan Malaysia Madani melalui sambutan inovatif muzik dan air ini,” katanya.