
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS, Sukri Omar, berkata walaupun pihaknya menyokong usaha kerajaan memperkukuh sektor pelancongan negara, bantahan itu dibuat secara berprinsip khususnya terhadap pemilihan lokasi dan bentuk penganjuran festival.
“Bukit Bintang ialah pusat perniagaan dan pergerakan awam yang kritikal, digunakan setiap hari oleh ribuan pekerja, peniaga, penduduk setempat dan pengguna pengangkutan awam.
“Penutupan jalan selama tiga hari di kawasan ini akan memberi impak besar kepada mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai, termasuk pelancong keluarga dan warga emas,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan penganjuran beberapa acara sempena TMM2026 termasuk sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan Water Musical Festival dijangka berlangsung di Bukit Bintang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata program tersebut bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei ini dan beberapa jalan di kawasan Bukit Bintang akan ditutup sementara bagi melancarkan penganjuran.
Mengulas lanjut, Sukri yang juga ketua Pemuda PAS Selangor berkata konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar melibatkan percampuran bebas serta suasana pesta awam perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab dan sensitiviti budaya tempatan.
Beliau turut memberi amaran penganjuran program seumpama itu di kawasan sesak mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral.
Katanya, bantahan dikemukakan bukan penolakan terhadap TMM2026 sebaliknya ia perlu selari matlamat kempen tersebut yang menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan.
“Pemilihan acara utama mestilah mencerminkan jati diri Malaysia, bukan sekadar meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan,” katanya.
Justeru, Sukri berkata Motac dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menilai semula penganjuran itu dari segi lokasi termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.