Fokus musuh sebenar, Tuan Ibrahim beritahu rakan komponen PN

Fokus musuh sebenar, Tuan Ibrahim beritahu rakan komponen PN

Timbalan presiden PAS seru semua pihak henti keluar kenyataan terbuka keruhkan keadaan.

Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ingatkan rakan komponen PN bahawa gabungan itu masih jadi harapan rakyat.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) agar berhenti menyerang sesama sendiri dalam kemelut yang tercetus berhubung jawatan pengerusi gabungan itu.

Tuan Ibrahim berkata, semua komponen PN sepatutnya fokus pada musuh politik sebenar, bukannya bertelingkah sesama sendiri.

“Semua pihak perlu menghentikan kenyataan terbuka di ruang awam yang hanya mengeruhkan keadaan, sebaliknya mengutamakan mekanisme dalaman bagi meleraikan kemelut secara berhemah.

“PN gabungan yang menjadi harapan rakyat. Kesepaduan yang dibina selama ini tentunya tidak disenangi, malah dicemburui oleh seteru politik … khususnya PH-BN.

“Justeru, jangan kita membuka ruang yang memudahkan musuh memecah-belahkan perpaduan PN. Perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang agar muafakat sedia ada terus utuh,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tuan Ibrahim, yang juga ketua pembangkang Pahang berkata, realiti kerjasama politik adalah parti-parti tidak mungkin mendapat segala yang diinginkan dan semua pihak perlu berkompromi.

“Namun, sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman adalah kunci kekuatan gabungan,” katanya.

“Hentikan kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat. Jangan menikam belakang kawan sendiri, apatah lagi berbangga menjatuhkan rakan gabungan. Hormatilah keputusan parti-parti rakan, dan bersedia menerima teguran serta pandangan dengan lapang dada.”

Awal hari ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa partinya dan PAS telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN, sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu, dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya lebih seminggu lepas.

Muhyiddin yang meletak jawatan sebagai pengerusi PN pada 1 Jan berkata, mereka turut bersetuju bahawa Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, yang akan menjadi badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar gabungan.

PAS pula akan mengetuai jawatankuasa eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran, tambahnya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan Muhyiddin, menyatakan bahawa perkara itu langsung tidak dibincangkan semasa pertemuan 16 Jan lepas.

Dalam surat berasingan yang dilihat oleh FMT, Presiden PAS Hadi Awang berkata, partinya berpendirian Majlis Presiden hanya bertindak sebagai badan penasihat, manakala Majlis Tertinggi kekal sebagai pembuat keputusan eksekutif gabungan.

Dua pemimpin Pemuda PAS kemudiannya membidas Muhyiddin, dengan ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyindir usaha presiden Bersatu itu untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN.

Tuan Ibrahim memberi amaran bahawa seteru PN gembira melihat pertelingkahan dalaman yang berlaku dalam PN kerana mereka mahu melihat gabungan itu berpecah-belah.

Justeru beliau menggesa semua pemimpin PN supaya mengeratkan hubungan sesama sendiri, terutamanya jika mahu gabungan itu meraih sokongan rakyat Malaysia pada PRU akan datang.

“Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah, itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendokong keputusan parti,” katanya.

“Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli. Maka, tepuk dada tanya selera: di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.