Tiada saringan diagnostik budak 6 tahun masuk Tahun 1

Tiada saringan diagnostik budak 6 tahun masuk Tahun 1

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kajian semula Kementerian Pendidikan.

anwar ibrahim dewan rakyat
Anwar Ibrahim berkata saringan diagnostik boleh bersifat diskriminasi dan mungkin memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak yang didapati tidak layak memasuki Tahun 1 pada usia enam tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan ujian saringan diagnostik tidak akan dilaksanakan ke atas kanak-kanak berusia enam tahun bagi menentukan kelayakan mereka memasuki Tahun 1.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian semula Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kami berpendapat ia boleh bersifat diskriminasi jika ada kanak-kanak didapati tidak layak dan ini mungkin memberi kesan psikologi kepada mereka.

“Oleh itu, diputuskan penilaian tersebut tidak akan dilaksanakan dan saya bersetuju dengan keputusan itu,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Anwar menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung keperluan menilai semula ujian saringan diagnostik kerana kanak-kanak gagal ujian itu akan tertangguh setahun memasuki Tahun 1.

Syed Saddiq turut menekankan Unesco memberi amaran tidak melaksanakan ujian saringan memisahkan kanak-kanak lambat belajar daripada rakan sebaya cepat belajar pada usia muda. Laporan itu turut menyatakan lebih 130 negara mendaftarkan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1.

Pada 21 Jan lalu, KPM dilaporkan berkata, kanak-kanak berusia enam tahun yang ingin memasuki Tahun 1 perlu menjalani saringan diagnostik bagi menentukan tahap kesiapsiagaan pembelajaran dan kebolehsuaian mereka mengikut pembelajaran formal.

KPM dalam infografik FAQ menjelaskan keputusan akan dibuat berdasarkan hasil saringan diagnostik dan pilihan ibu bapa, tetapi pendaftaran tidak dijamin serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Cabaran sekolah bandar laksana sesi tunggal

Anwar berkata, sukar untuk sekolah di kawasan bandar, khususnya yang padat, mengekalkan sistem satu sesi susulan pelaksanaan pendaftaran sukarela Tahun 1 bagi kanak-kanak berusia enam tahun.

Jelasnya, walaupun sistem satu sesi ideal, kos semakin meningkat memaksa sekolah bandar yang padat mengamalkan sistem dua sesi.

“Saya fikir adalah wajar kita mempertimbangkan dua sesi persekolahan bagi prasekolah dan Tahun 1,” katanya menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading), yang turut mencadangkan sesi petang tidak perlu untuk murid prasekolah serta Tahun 1.

Beliau berkata, kerajaan bersedia dari segi kewangan dan logistik untuk melaksanakan dasar baharu itu, termasuk ujian standard yang diperkenalkan kepada pelajar Tahun 4 dan Tingkatan 3.

Menurutnya, sebanyak 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi telah dinaik taraf, termasuk penambahan 150 bilik darjah baharu pada tahun lalu dan 350 lagi tahun ini.

Menteri kewangan itu turut memaklumkan tambahan dana RM800 juta sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan bagi pengambilan 18,000 guru baharu.

“Untuk belanjawan tahun ini, kita akan bentangkan peruntukan tambahan ini bagi memenuhi keperluan mendesak. KPM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi telah mengambil langkah sewajarnya untuk mempercepatkan perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.