Tiada sebab kecualikan Muhyiddin daripada mesyuarat MT PN, kata Tun Faisal

Tiada sebab kecualikan Muhyiddin daripada mesyuarat MT PN, kata Tun Faisal

Ketua penerangan Bersatu mempersoalkan dakwaan bahawa presiden parti Muhyiddin Yassin tidak dijemput ke mesyuarat berkenaan.

Tun Faisal Ismail
Tun Faisal Ismail Aziz berkata tiada sebarang alasan munasabah untuk tidak menjemput Muhyiddin Yassin ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN kerana beliau masih pengerusi gabungan mengikut peruntukan perlembagaan parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan dakwaan bahawa presiden parti Muhyiddin Yassin tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) minggu ini.

Beliau berkata tiada sebarang alasan munasabah untuk tidak menjemput pemimpin itu kerana beliau masih pengerusi gabungan mengikut peruntukan perlembagaan parti.

Katanya, perlembagaan PN jelas menetapkan bahawa perletakan jawatan pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi.

“Apakah alasan yang berkemungkinan digunakan untuk tidak menjemput Muhyiddin.

“Jika alasannya disebabkan Muhyiddin telah meletakkan jawatan, alasan ini tidak boleh dipakai kerana perlembagaan PN secara jelas menyatakan bahawa perletakan jawatan ini belum berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Tun Faisal berkata demikian mengulas dakwaan seorang pemimpin PN semalam yang berkata Muhyiddin tidak dijemput ke mesyuarat tersebut 29 Jan depan bagi melantik pengerusi baharu.

Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Muhyiddin sepatutnya masih dijemput ke mesyuarat itu walaupun beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan.

Menurut surat yang dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, antara wakil Bersatu yang dijemput ke mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Ronald Kiandee.

Pemimpin PN lain yang turut dijemput ialah presiden parti Abdul Hadi Awang (PAS), Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP). Hamzah, Hadi, Lau dan Punithan merupakan timbalan pengerusi PN.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut menolak kemungkinan penggunaan Perkara 8.3(II)(b) yang membenarkan pelantikan pemangku pengerusi semasa ketiadaan pengerusi.

Menurutnya, peruntukan itu hanya boleh digunakan jika pengerusi benar-benar tidak hadir kerana faktor seperti keuzuran, berada di luar kawasan atau mempunyai halangan menjalankan tugas, dan bukannya kerana dianggap telah meletakkan jawatan walaupun peletakan itu belum diluluskan.

Tun Faisal menegaskan, walaupun jika Muhyiddin tidak lagi menjadi Pengerusi PN sekalipun, beliau masih perlu dijemput menghadiri mesyuarat MT sebagai presiden Bersatu, yang secara konvensyen merupakan timbalan pengerusi PN.

Muhyiddin mengumumkan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 30 Dis.

Pengumuman itu dibuat susulan krisis politik di Perlis. Beliau kemudian berkata bahawa beliau bersedia sepenuhnya untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS, namun Bersatu berpandangan penggantinya mestilah seorang presiden parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.