PAS tiada masalah Muhyiddin dilantik pengerusi majlis presiden PN

PAS tiada masalah Muhyiddin dilantik pengerusi majlis presiden PN

Perkara itu hanya boleh diputuskan oleh majlis presiden PN, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasan.

PAS tiada masalah sekiranya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi pengerusi majlis presiden PN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasan berkata partinya tiada masalah sekiranya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi pengerusi majlis presiden Perikatan Nasional (PN).

Takiyuddin yang juga timbalan setiausaha agung PN bagaimanapun mengingatkan bahawa perkara itu hanya boleh diputuskan oleh majlis presiden itu sendiri.

“Sebenarnya secara perlembagaan, presiden-presiden dah jadi ahli majlis presiden cuma nak pinda ‘job scope’ (bidang kerja), jadi akan dibuat pindaan.”

“Tiada masalah. Majlis presiden yang perlu tentukan, bukan orang lain,” kata Takiyuddin pada sidang media di ibu pejabat PAS.

Sebelum ini, Malaysiakini, memetik sumber dalaman Bersatu, melaporkan bahawa suatu persetujuan dicapai dalam pertemuan antara pemimpin PAS dan Bersatu sebelum ini, yang mana Muhyiddin akan diberi peranan sebagai ‘pengerusi majlis presiden’, manakala pemimpin PAS pula akan mengetuai tugas pentadbiran.

Hari ini, Takiyuddin mengumumkan mesyuarat luar biasa majlis tertinggi PN akan bersidang pada Khamis, untuk menentukan kedudukan beliau selaku pengerusi.

Kedudukan Muhyiddin akan bergantung pada sama majoriti 16 anggota MT semasa bersetuju atau tidak dengan peletakan jawatan beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.