Bersatu ada ‘magnet’ tarik pengundi atas pagar, kata pemimpin

Bersatu ada ‘magnet’ tarik pengundi atas pagar, kata pemimpin

Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris berkata hubungan partinya dan PAS yang saling melengkapi perlu diperkukuh jika PN mahu menawan Putrajaya pada PRU16.

bersatu
Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris berkata parti itu mampu menarik pengundi atas pagar, golongan profesional dan anak muda.
PETALING JAYA:
Bersatu mempunyai peranan penting dalam Perikatan Nasional (PN) kerana mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, golongan profesional dan anak muda, kata seorang pemimpinnya.

Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris berkata kekuatan itu melengkapi PAS yang menurutnya memiliki jentera akar umbi besar serta pengalaman luas dalam pilihan raya.

Beliau berkata kedua-dua parti tidak seharusnya melihat satu sama lain sebagai pesaing dalaman, sebaliknya sebagai rakan strategik yang saling melengkapi dalam usaha memperkukuh PN.

“PAS ada kekuatan jentera akar umbi yang gergasi dan pengalaman luas pilihan raya. Bersatu pula ada magnet penarik pengundi atas pagar, kelompok profesional dan anak muda.

“Gabungan ini adalah pelengkap, bukan pesaing dalaman.

“Muhasabah kembali persefahaman awal, perbaiki kelonggaran jentera dan pastikan agihan ruang membuat keputusan dilakukan secara adil dan seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, Presiden PAS Hadi Awang memberi amaran kepada Bersatu yang kesabaran PAS ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata antaranya pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju dengan usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam tidak ekstrem ke PN.

Tegasnya PAS juga akan mengkaji semula hubungan bersama Bersatu dan tindakan rakan komponennya itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan, ia susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu itu akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang mendakwa disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Kritikan Hadi turut berkisarkan penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri.

Selain itu, perkembangan di Perlis menyaksikan tampuk pemerintahan beralih kepada Bersatu dan campur tangan pelantikan exco serta timbalan speaker di Kedah dan Kelantan.

Ahad lalu, Biro Politik Bersatu menafikan semua dakwaan itu dan menggesa semua isu membabitkan PAS sepatutnya diselesaikan menerusi saluran dalaman PN bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.