Polis buru tahanan reman lari hospital

Polis buru tahanan reman lari hospital

S Clemont didapati melarikan diri dari Hospital Sungai Bakap petang kelmarin dengan memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin
Suspek masih direman bagi kes di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Alwi Zainal Abidin. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan seorang tahanan reman yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek, dikenali sebagai S Clemont, 47, didapati melarikan diri sekitar 3.45 petang dengan memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.

Beliau berkata laporan mengenai kejadian itu diterima daripada anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek.

“Ketika melarikan diri, suspek masih berada dalam tahanan reman bagi kes di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.

“Suspek dibawa ke HSB pada 22 Jan bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kelalaian penjawat awam yang menyebabkan seseorang melarikan diri daripada pengurungan sah, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan, iaitu melarikan diri daripada tahanan sah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes Cheok Kian Soon, di talian 012-6193878 atau IPD Seberang Perai Selatan di 04-5858222, atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.