Kontrak senjata lebih RM100 juta perlu audit automatik, kata pakar

Kontrak senjata lebih RM100 juta perlu audit automatik, kata pakar

Kumpulan antirasuah C4 turut gesa perolehan berdaya saing dijadikan amalan dan tempoh bertenang bagi pegawai kanan sebelum mereka menyertai syarikat pertahanan.

AV8 GEMPITA
Kenderaan berperisai pelbagai peranan Gempita beroda lapan milik Angkatan Tentera Malaysia. Sebanyak 287 unit dalam 12 varian dibina sejak 2014.
PETALING JAYA:
Seorang pakar pertahanan berkata cadangan kontrak ketenteraan lebih RM100 juta perlu disemak Jabatan Audit Negara dan jawatankuasa pilihan Parlimen secara automatik.

Lam Choong Wah dari Universiti Malaya berkata, semakan itu langkah mudah tetapi konkrit untuk meningkatkan kawalan ke atas pembelian pertahanan dan “memberi lebih kuasa kepada sistem” serta menghalang rasuah secara menyeluruh.

Lam Choong Wah
Lam Choong Wah.

Walaupun perolehan pertahanan dilindungi Akta Rahsia Rasmi, katanya, pegawai audit dan Parlimen tetap tahu batasan ketika meneliti kontrak bernilai tinggi ini.

Beliau berkata, pembelian kenderaan berperisai pelbagai peranan Gempita beroda lapan oleh tentera hanya diaudit Jabatan Audit Negara pada 2025, kira-kira 13 tahun selepas kontrak dimeterai.

“Ini terlalu lewat untuk mencegah sebarang salah laku,” katanya merujuk Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan Kementerian Pertahanan membayar RM7.5 bilion untuk perolehan 70 kenderaan.

Cadangan Lam menyusul siasatan berterusan terhadap dakwaan kartel tender tentera, yang membawa kepada penahanan dua pegawai kanan tentera, termasuk seorang bekas panglima tentera darat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula berkata, agensi itu akan mencadangkan pertuduhan terhadap beberapa pegawai kanan selepas siasatannya.

Kecualikan peranan orang tengah, kata C4

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata perolehan berdaya saing perlu dijadikan amalan dalam pembelian pertahanan, dengan rundingan terus hanya dibenarkan dalam kes yang jelas ditakrifkan dan boleh disemak semula.

Pushpan Murugiah
Pushpan Murugiah.

Menurutnya, kontrak utama juga wajib disemak audit bebas.

“Kecualikan peranan orang tengah dan ejen yang boleh meningkatkan kos, perkenal tempoh bertenang untuk pegawai kanan pertahanan sebelum mereka menyertai syarikat pertahanan serta beri perlindungan lebih baik kepada pemberi maklumat.”

Tegasnya, skandal pertahanan terdahulu di Malaysia dan luar negara menyebabkan kos melambung, peralatan berkualiti rendah serta melemahkan keupayaan operasi.

Mengenai rancangan Kementerian Pertahanan menubuhkan lembaga integriti dan amanah bebas untuk mengendalikan aduan, beliau berkata, jika panel itu direka bentuk secara sempit, ia berisiko menjadi lebih reaktif berbanding pencegahan.

“Untuk memberi kesan sebenar, badan sedemikian perlu melangkaui tindak balas terhadap aduan semata-mata dan diberi kuasa mencegah rasuah sebelum ia berlaku.”

Katanya, rasuah dalam perolehan pertahanan sering bersifat kolusif, rentas negara, tersembunyi di sebalik lapisan kerahsiaan dan tidak mungkin timbul hanya melalui aduan.

Justeru, beliau menyarankan lembaga itu diberi kuasa siasatan, penguatkuasaan serta jaminan kebebasan bagi memastikan rasuah dapat dibendung secara berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.