
Rajsurian berkata Tan, 31, dijangka dibebaskan sekitar jam 5 petang hari ini.
Beliau berkata polis pada awalnya memohon perintah reman selama empat hari daripada Majistret Farah Nabihah Dan, namun hanya dibenarkan reman selama satu hari.
“Polis sedang merakam keterangannya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, tiga laporan polis telah diterima berkaitan isu yang sama sekali gus mencerminkan kegusaran orang awam terhadap insiden itu,” katanya.
Kontroversi membabitkan Tan berlaku pada syarahan bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”, Isnin lalu, menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.
Susulan kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui soalan yang dikemukakannya “tidak disusun dengan baik”, tidak mengambil kira kesesuaiannya dengan program tersebut, serta kurang mempertimbangkan sensitiviti isu berkenaan.
Tan turut meletak jawatan pagi semalam.
FMT juga memohon maaf dengan menyatakan pihaknya tidak mengetahui lebih awal niat Tan untuk mengemukakan soalan itu dan tidak menyokong kenyataan berkenaan.