
Beberapa perwakilan ditemui pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 turut berpendapat keberadaan wakil parti itu dalam kerajaan juga perlu untuk mengkritik jika ada dasar kurang sesuai dan tidak beri manfaat kepada rakyat.

Bendahari Umno Ampang, Mior Azlan Mior Kamarulbaid, berkata peluang berada dalam kerajaan harus dimanfaatkan untuk bekerja kepada rakyat lebih-lebih lagi kebanyakan pemimpin parti memegang portfolio strategik.
Beliau memberi contoh Presiden Umno Zahid Hamidi bertanggungjawab dalam pembangunan masyarakat luar bandar manakala Naib Presiden Johari Ghani pula memantau pelaburan yang kesannya berkait kepada ekonomi serta peluang pekerjaan.
“Timbalan Presiden Tok Mat (Mohamad Hasan) pula berada di barisan depan dalam hal ehwal antarabangsa, semua ini memberi peluang kepada Umno untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Berada dalam kerajaan bukan bermaksud kita bekerja untuk DAP tetapi negara,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini ada gesaan supaya Umno keluar kerajaan antaranya oleh Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh. Bagaimanapun Zahid menegaskan parti itu kekal dalam pentadbiran Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Sementara itu, Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Nik Normi Nik Ayub, berkata berada dalam kerajaan boleh membantu memantapkan kembali parti selepas mencatat prestasi kurang baik pada PRU lalu.
“Kita boleh bersuara dan orang akan dengar kita bila dalam kerajaan, tapi sebaliknya kalau di luar.

“Paling penting bila dalam kerajaan boleh berdepan terus dengan pihak didakwa cuba melanggar garis merah seperti hak raja, agama dan Melayu untuk diselesaikan segera,” katanya yang juga naib ketua Wanita Umno Kelantan.
Ketua Penerangan Pemuda Masjid Tanah, Mohd Ismail Sakhari, turut senada kritikan tidak semestinya hanya boleh dibuat apabila berada di luar kerajaan.
“Saya rasa Umno dan Akmal perlu terus mengkritik dari dalam kerajaan sehingga PRU16, tak perlu sampai keluar.
“Kita duduk dalam kerajaan bukan bermakna kita nak bersama DAP sebaliknya jadi ruang dan jalan bantu rakyat dengan lebih mudah,” katanya.

Manakala, Ketua Puteri Umno Sepang, Nurhidayu Ahmad Puzii, berkata keberadaan parti itu dalam kerajaan bukan bermakna ia sebagai pak turut tetapi menyelesaikan masalah serta pendesak mewakili rakyat.
“Umno sebagai parti pernah menjadi kerajaan sebelum ini tahu apa perlu dilakukan untuk negara.
“Perlu juga kekal untuk mengelakkan ketidakstabilan politik,” katanya.