‘Rumah Bangsa’ Umno lebih kukuh satukan Melayu berbanding payung besar, kata Zahid

‘Rumah Bangsa’ Umno lebih kukuh satukan Melayu berbanding payung besar, kata Zahid

Presiden Zahid Hamidi berkata gerakan payung besar gagal tanpa berpaut kepada Umno.

Presiden Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki pada majlis menaikkan bendera Umno sebelum perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
‘Rumah Bangsa’ Umno lebih sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar yang didakwa gagal oleh Presiden Umno Zahid Hamidi.

Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, Zahid berkata gerakan payung besar itu gagal kerana tidak berpaut pada rumah asalnya iaitu Umno.

Menurutnya, Umno bukan sekadar parti politik, tetapi ‘rumah bangsa’ yang menjadi wadah penyatuan orang Melayu dalam menghadapi cabaran politik dan realiti negara semasa.

“Bukan dengan retorik amarah, bukan dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas dan jiwa yang besar.

“Gagasan Payung Besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa Umno. Tetapi sejarah telah membuktikan, ia tidak mendapat sambutan.

“Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah,” katanya.

Zahid tidak merujuk secara jelas kepada mana-mana gerakan dalam ucapannya itu, namun bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jun tahun lalu telah melancarkan sebuah ‘jawatankuasa sekretariat orang Melayu’.

Langkah bekas presiden Umno dan pengasas Bersatu itu dibuat dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Beliau menegaskan gerakan itu bukan bermotifkan politik sebaliknya menjadi platform menyelesaikan masalah dihadapi orang Melayu yang didakwanya gagal ditangani kerajaan semasa.

Payung besar itu turut merangkumi PAS dan Bersatu.

Mahathir turut menjemput ahli Umno menyertainya gabungan itu namun tidak secara rasmi untuk parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.