‘Jangan merajuk lagi, kita tak larat nak pujuk,’ Zahid beritahu MCA, MIC

‘Jangan merajuk lagi, kita tak larat nak pujuk,’ Zahid beritahu MCA, MIC

Presiden Umno berkata hubungan adik-beradik sudah pasti akan ada yang ‘tergigit’, namun perlu kembali berpaut.

Presiden MCA Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan hadir pada perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi ‘memujuk’ parti komponen – MCA dan MIC – supaya tidak lagi merajuk untuk keluar gabungan dan kembali berpaut di bawah rumah besar Barisan Nasional (BN).

Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Zahid berkata hubungan adik-beradik sudah pasti akan ada yang ‘tergigit’, namun perlu kembali berpaut.

“Merajuk lah, tak apa.. merajuk sekejap lepas tu marilah balik tetapi janganlah merajuk lagi, kita pun tak larat nak pujuk.

“Balik ke sini, duduk di rumah besar ini kita sama-sama lah… kita rakyat Malaysia kita sahabat dalam BN,” katanya disambut sorakan gemuruh perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.

Beliau berkata, walaupun penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan dibuat atas kepentingan negara, ia tidak dapat dinafikan telah mengundang ketegangan dalam BN – gabungan diasaskan bersama Umno, MCA dan MIC sejak 51 tahun lalu.

“Keberadaan kita di dalam kerajaan perpaduan walaupun atas kepentingan negara, ia telah mengundang keretakan hubungan mesra sesama parti komponen BN, tapi Alhamdulillah, semua ada di depan kita sekarang ini.

“Hingga ada yang buat keputusan untuk tinggalkan hubungan yang selama ini menjadi tonggak kestabilan, ada yang merajuk nak masuk kat sana (merujuk Perikatan Nasional), sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula adik beradik,” kata Zahid.

Sebelum ini, MCA didakwa mahu keluar daripada komponen itu, dengan memetik sebuah portal berita menyatakan anggota akar umbi parti itu kini tidak lagi gembira dengan kedudukan mereka dalam BN.

Laporan itu menyebut, akar umbi MCA menganggap BN diketuai Umno tidak lagi relevan kepada parti mereka, selain diketepikan dalam kerajaan.

Sumber itu berkata, pucuk pimpinan MCA masih belum membuat sebarang keputusan.’

Sementara itu, pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC November lalu, perwakilan memutuskan untuk tangguh keputusan sama ada mahu meninggalkan atau kekal dalam BN, dengan Presiden SA Vigneswaran mengesahkan semua usul, termasuk usul keluar BN, akan dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat bagi pertimbangan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden, M Saravanan berkata MIC dijangka membuat keputusan muktamad sama ada meninggalkan BN atau sebaliknya seawal Februari ini selepas perayaan Thaipusam.

MIC berada di persimpangan sama ada mahu meninggalkan BN, malah sudah menghantar pertanyaan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan menyertai gabungan pembangkang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.