Zahid akan jumpa Akmal berkait ‘serang DAP’

Zahid akan jumpa Akmal berkait ‘serang DAP’

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata beliau ingin mengetahui siapa sasaran dan bentuk 'serangan' dimaksudkan Dr Akmal Saleh.

Zahid Hamidi dan Akmal Saleh
Zahid Hamidi menegaskan peletakan jawatan Dr Akmal Saleh sebagai exco adalah keputusan peribadinya yang wajar dihormati.
KUALA LUMPUR:
Presiden Zahid Hamidi akan bersemuka Dr Akmal Saleh bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan ketua Pemuda Umno itu yang membayangkan ‘menyerang’ DAP lebih agresif selepas melepaskan jawatan exco Melaka.

Zahid berkata, beliau ingin mengetahui siapa sasaran dan bentuk ‘serangan’ yang dimaksudkan Akmal.

“Saya ingin tahu daripada beliau nanti. Saya akan jumpa beliau, bila nak serang siapa dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pertemuan Kelab Umno Luar Negara dan perwakilan siswa di tepian Perhimpunan Agung Umno 2025.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda, Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan Melaka berkuat kuasa minggu depan, selepas akur dengan keputusan parti untuk terus kekal dalam kerajaan perpaduan.

Akmal berkata, beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada presiden dan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, yang mengingatkannya ‘pejuang tidak akan meninggalkan rakan-rakan’.

Katanya, meskipun sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP, beliau tetap menghormati keputusan parti untuk kekal dalam kerajaan perpaduan.

Akmal menegaskan, peletakan jawatan itu bukan kerana pangkat atau kedudukan, sebaliknya demi mempertahankan suara akar umbi dan maruah politiknya.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan peletakan jawatan Akmal sebagai exco adalah keputusan peribadinya yang wajar dihormati.

“Dr Akmal telah berbincang dengan saya dan juga Rauf, dan saya menghormati pendirian beliau untuk melepaskan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Melaka.

“Mungkin dengan itu, beliau mempunyai masa dan ruang yang cukup untuk turun ke akar umbi, terutamanya ke bahagian-bahagian, kerana kita ada 191 bahagian Pemuda,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan Akmal bersifat emosi, Zahid menjawab ringkas: “Itu hak peribadi beliau. Beliau tahu apa yang beliau lakukan.”

Mengulas kebimbangan langkah itu boleh memberi tekanan kepada Umno atau kerajaan negeri, Zahid menolak tanggapan tersebut.

“Saya tidak fikir itu merupakan satu tekanan kerana Rauf tahu apa yang beliau akan lakukan selepas ini,” katanya.

Mengenai cadangan Akmal supaya Umno kembali kepada Muafakat Nasional, Zahid menegaskan ia hanya pandangan peribadi dan keputusan muktamad terletak pada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Sementara itu, beliau menjelaskan kehadiran bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada program hari ini adalah atas jemputan Akmal dan dengan restunya, namun sebarang kemungkinan Khairy kembali menyertai Umno bergantung kepada permohonan rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.