
Hakim S Narkunavathy ketika menolak permohonan itu menegaskan mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.
“Kedua-dua kes membabitkan pertikaian mengenai ajaran Islam, yang bukan bidang kuasa mahkamah sivil.
“Apabila mahkamah melakukan semakan sedemikian, ia akan menjadi penentu hal ehwal agama Islam, sekali gus mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.”
Mahkamah turut membezakan fatwa dikeluarkan ke atas GISB dengan fatwa pada 2014 terhadap kumpulan hak wanita, SIS Forum (Malaysia).
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan tiada fatwa boleh dikeluarkan ke atas SIS Forum kerana organisasi itu tidak berupaya menganut agama.
“Tidak seperti fatwa dikeluarkan ke atas SIS Forum, mahkamah mendapati fatwa ini jelas ditujukan kepada pemimpin, pengikut, pekerja dan ahli GISB, yang semuanya individu beragama,” kata Narkunavathy.
Pada Oktober 2024, kerajaan Selangor mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan GISB organisasi menyebarkan ajaran sesat.
Jawatankuasa fatwa negeri berkata, pemimpin, pengikut, pekerja, ahli dan rangkaian GISB didapati mengamalkan ajaran kumpulan Darul Arqam yang diharamkan sejak 1993.