
Ketika merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2025, Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata dunia menyaksikan ‘gelombang menolak kerajaan sedia ada’ (anti-incumbency wave), termasuk di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, apabila rakyat yang tertekan menghukum pemerintah tanpa mengira sejarah atau jasa lalu.
“Mereka tidak lagi peduli sejarah parti mana yang memerdekakan dan membangunkan negara,” katanya, yang mesra dengan panggilan Tok Mat. “Jika perut lapar dan hidup tertekan, kerajaan akan dihukum.”
Mengambil konteks Umno, Mohamad berkata parti itu telah menerima isyarat pada PRN Sabah tahun lalu yang menyaksikannya hanya menang enam kerusi DUN. Jumlahnya berkurangan kepada lima susulan kematian penyandang DUN Lamag Bung Moktar Radin, 5 Dis lalu.
Tegas Mohamad, isyarat daripada keputusan itu cukup besar dan turut melanda parti dalam kerajaan perpaduan dari Semenanjung yang ditolak secara menyeluruh oleh pengundi Sabah, termasuk DAP yang gagal memenangi sebarang kerusi dan PKR menang satu kerusi.
Walaupun Umno menang lima kerusi, Mohamad menegaskan keputusan itu tidak wajar diraikan kerana Sabah suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat parti itu.
“Orang Sabah memilih untuk menolak kita. Mereka memilih perikatan lokal yang lebih serasi dengan sentimen tempatan.
“Ini menunjukkan masih banyak isu yang belum berjaya kita uruskan dengan berkesan,” katanya, menegaskan ia perlu diurus secara terbuka dan berlapang dada.
Katanya, kegagalan di Sabah juga disebabkan Umno tidak kelihatan dan kedengaran ampuh dalam memperjuangkan kepentingan rakyat negeri itu.
“Kita terlalu terbawa dengan isu nasional, tanpa lantang mengetengahkan agenda tuntas untuk Sabah bagi orang Sabah.
“Gagal membaca persekitaran yang berubah deras. Sebab itu kita dihukum rakyat Sabah,” katanya.