
Dusuki Mokhtar berkata kes tersebut tamat setelah pihak pendakwaan mempertimbangkan enam representasi yang dikemukakan oleh pasukan peguam kepada presiden Umno itu, serta fakta dan undang-undang yang relevan.
“Beliau tidak boleh didakwa lagi. Ia selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan tahun undang-undang 2026.
Pada 8 Jan lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperolehi hasil siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan, pada 4 sept 2023.
Menurut AGC, keterangan yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram.
Mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid selepas membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya yang memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau, pada peringkat itu.
Mengulas mengenai keputusan AGC, Dusuki berkata walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan wujudnya kes prima facie dan memerintahkan Zahid membela diri, siasatan susulan yang lebih menyeluruh telah mengubah kedudukan tersebut.
“Apabila kami meneliti lebih lanjut, terutama mengenai aliran dana, itu adalah isu utamanya. Ia menyebabkan kes tersebut menjadi lemah,” katanya.
Dusuki menerangkan NFA itu tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan secara teliti perkembangan selepas pertuduhan difailkan.
Beliau berkata lepas tanpa bebas (DNAA) yang diberikan kepada Zahid sebelum ini bertujuan membolehkan siasatan lanjut dijalankan, yang telah pun selesai.
Peguam negara menyangkal tanggapan kes Zahid patut diteruskan hanya kerana Mahkamah Tinggi mendapati wujudnya kes prima facie, mengatakan kes-kes serupa pada masa lalu disemak semula sekalipun setelah sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Ada kes yang telah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi. Namun di peringkat Mahkamah Rayuan, kami menyemaknya semula kerana wujud keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.