
Perkembangan ini antara ketetapan yang ditetapkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam sesi bersama Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” menurut kenyataan oleh Pejabat Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin juga mahu kajian terperinci serta bancian menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor.
“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” katanya.
Terdahulu, Izham mengumumkan ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk di Tanjong Sepat, Kuala Langat akan ditutup dan perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu, bagi mendapatkan keputusan sebagai panduan untuk dilaksanakan kepada pemilik ladang.
Katanya lagi, pembaharuan lesen juga tidak akan diberikan sehingga pemindahan penternakan dilakukan di ladang babi moden berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang akan dipercepat.
Izham menjelaskan pembangunan di Bukit Tagar kena dipercepatkan kerana Sultan Selangor tidak berkenan dengan pemberian pembaharuan lesen ternakan babi di Tanjung Sepat.
Pada Sabtu, Pejabat Sultan Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang melibatkan penternakan babi secara berskala besar.
Menurutnya, Sultan Selangor akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal demi memenuhi keperluan rakyat bukan Islam, namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti masyarakat yang majoritinya beragama Islam.