4 cedera letupan bom di 11 stesen minyak Thailand

4 cedera letupan bom di 11 stesen minyak Thailand

Tentera Thailand melaporkan beberapa bom meletup dalam tempoh 40 minit menyebabkan 11 stesen minyak di Narathiwat, Pattani dan Yala terbakar.

Keadaan di sebuah stesen minyak PTT di Narathiwat, selatan Thailand selepas menjadi sasaran serangan bom. (Gambar AFP)
BANGKOK:
Empat cedera dalam serangan bom di 11 stesen minyak di selatan Thailand awal pagi Ahad, kata tentera.

Pasukan tentera dalam kenyataan berkata, beberapa bom meletup dalam tempoh 40 minit selepas tengah malam tadi menyebabkan 11 stesen minyak di Narathiwat, Pattani dan Yala terbakar.

Pihak berkuasa belum mengumumkan sebarang tangkapan atau dalang serangan itu.

“Ia berlaku hampir serentak. Sekumpulan lelaki tidak diketahui jumlahnya meletupkan bom yang merosakkan stesen minyak,” kata Gabenor Narathiwat, Boonchauy Homyamyen kepada media tempatan sambil menambah seorang anggota polis cedera di wilayah itu.

Seorang anggota bomba dan dua pekerja stesen minyak turut cedera di wilayah Pattani, menurut tentera.

Jurucakap tentera Thailand memberitahu AFP, empat mangsa cedera dihantar ke hospital, tiada yang parah.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata agensi keselamatan percaya serangan itu “isyarat” sempena pilihan raya pentadbir tempatan pada Ahad, “bukannya pemberontakan”.

Komander tentera di selatan, Narathip Phoynok, memberitahu wartawan, langkah keselamatan ditingkatkan ke “tahap maksimum di semua kawasan”, termasuk sekatan jalan raya dan sempadan.

Wilayah selatan Thailand mempunyai budaya berbeza daripada sebahagian besar negara itu yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Kawasan itu dikawal ketat pasukan keselamatan Thailand – sasaran biasa pemberontak.

Konflik berintensiti rendah yang tercetus sejak 2004 meragut ribuan nyawa, apabila pemberontak di wilayah majoriti Muslim yang bersempadanan Malaysia itu berjuang untuk mendapatkan lebih banyak autonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.