
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata hasil tinjauan hari ini mendapati sekolah terjejas itu terletak di Daro (3), Selangau di Sibu (4) serta Tatau dan Sebauh di Bintulu (19).
“Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) KG Pangtray, SK OK Selair, SJK (C) Chung Hua di Daro, SK Nangga Selangau, SK Kuala Lemai, SK Ulu Sg Arip dan SK St Mark di Selangau.
“Manakala 19 sekolah di Tatau dan Sebauh membabitkan SJK (C) Chung Hua Tatau, SJK(C) Chung San, SK Bukit Mawang, SK Hermanus Assan, SK Kuala Binyo, SK Kuala Kebulu, SK Kuala Muput, SK Kuala Sigu, SK Labang, SK Ng Penyarai, SK Ng Tau, SK Pandan, SK Rh Tayai, Sk Sebauh, SK Sg Bukit Balai, SK Sg Genaan, SK Sg Sebungan, SK Sg Sengian dan SK Sg Bagian,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, sekolah terbabit tidak dapat beroperasi disebabkan kawasan sekolah masih digenangi air, selain jalan di kawasan kediaman atau kampung tidak dapat diakses kerana banjir.
Pada masa sama, katanya, lapan sekolah di Sarawak dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu tujuh di Serian dan satu di Selangau.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 2,802 mangsa daripada 864 keluarga masih berlindung di 29 PPS setakat 4 petang tadi, manakala 11 PPS di Samarahan, Gedong, Siburan dan Balai Ringin ditutup kerana keadaan banjir semakin terkawal.
Tetapi, JPBN dilaporkan berkata, jumlah mangsa di beberapa lokasi mencatatkan peningkatan membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan Krusen di Serian, Dewan Suarah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sebauh di Bintulu.
Di Sabah, SK Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa di daerah Beaufort tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2026 esok kerana masih terjejas banjir sejak 2 Jan lalu.
“Bagi daerah lain, sesi persekolahan berjalan seperti biasa,” kata Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, seramai 276,144 murid sekolah rendah dan 214,170 pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan esok, termasuk 43,385 murid Tahun Satu dan 44,851 pelajar Tingkatan Satu.