Suka atau tidak, Najib pernah ketuai Umno, Loke ingatkan ahli DAP

Suka atau tidak, Najib pernah ketuai Umno, Loke ingatkan ahli DAP

Setiausaha agung DAP berkata walaupun parti mempunyai pendiriannya, tiada keperluan merosakkan hubungan dengan sekutu dalam kerajaan perpaduan.

Loke Siew Fook
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sudah berbincang dengan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin berhubung kenyataannya, tetapi tidak menegurnya.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mengingatkan ahli parti itu, suka atau tidak, bekas perdana menteri, Najib Razak pernah menerajui Umno, sekutu DAP dalam kerajaan perpaduan, jadi tidak wajar merosakkan hubungan berkenaan.

Menerusi sebuah podcast berbahasa Cina, Loke berkata, beliau sudah berbincang dengan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung hantaran terbarunya yang mencetuskan kontroversi.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan tindakan Yeo, tetapi tidak menegurnya.

Yeo menerusi hantaran di media sosialnya meraikan kegagalan Najib menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Loke berkata, memandangkan Najib sedang menjalani hukuman, matlamat ditetapkan parti sudah tercapai. “Tak perlu tikam lagi,” katanya merujuk kenyataan Yeo.

Walaupun DAP mempunyai prinsip dan pendirian sendiri, tiada keperluan merosakkan hubungan parti.

“Kalau mahu bercakap tentang kerjasama (dengan Umno), tentang kerajaan bergerak ke depan dan melaksanakan reformasi bersama, semua pihak perlu berkomunikasi. Apabila kita rosakkan (hubungan itu), komunikasi menjadi sangat sukar,” kata Loke dipetik Malaysiakini.

Bulan lalu, Yeo menimbulkan kemarahan pemimpin Umno dan sebahagian individu dalam Pakatan Harapan dengan menulis “satu lagi sebab untuk diraikan hujung tahun ini” susulan keputusan mahkamah.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, kemudiannya berkata mungkin tiba masanya parti itu menilai semula kerjasama dengan pihak yang tidak menghargai sumbangan Umno.

Umno Puchong memutuskan semua hubungan dengan PH, selepas Yeo enggan memohon maaf. Pemuda Umno kemudian mengadakan konvensyen khas menggesa parti menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan.

Loke berkata: “Jika dilihat kembali, beliau boleh tanganinya dengan lebih baik.”

Katanya, Yeo sepatutnya meraikan secara dalaman. “Saya hanya kata tindakan dan (kata-kata) ini tidak perlu.”

Najib, 72, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022, selepas disabitkan bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.

Beliau memohon untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, tetapi kepada Mahkamah Tinggi memutuskan tiada mekanisme undang-undang untuk tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.