
Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor dalam saman fitnah terhadap Aliff, Kadir berkata ahli perniagaan berusia 38 tahun itu telah memeterai perjanjian usaha sama dengan syarikat milik keluarganya, Pembangunan Utara Baru Sdn Bhd, dengan melabur RM30 juta pada 2018 bagi membangunkan projek dikenali sebagai ‘Buckingham By The Sea’ di Desaru, Johor.
Semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, S Ravichandaran, Kadir telah dirujuk kepada perjanjian usaha sama itu dan mengesahkan peranan Aliff sebagai seorang pelabur.
Beliau juga ditanya sama ada syarikat tersebut telah membuat sebarang pembayaran kepada Aliff.
“Saya tidak ingat jumlah sebenar, tetapi lebih RM7 juta,” katanya.
Kadir berkata, beliau mempercayai Aliff dan tidak mempunyai alasan untuk meragui keikhlasannya ketika itu.
“Beliau muda, tidak terpelajar sangat, namun berjaya. Saya gembira dapat membawanya masuk sebagai pelabur,” katanya.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Aliff, Zulfahmi Abu Bakar, Kadir menegaskan peranan Aliff dalam usaha sama berkenaan sebagai pelabur, bukan pemberi pinjam.
Ditanya sama ada beliau merujuk perjanjian usaha sama itu merupakan satu perjanjian pinjaman, Kadir menjawab: “Dalam fikiran beliau, ia adalah pinjaman. Dalam fikiran saya, ia adalah pelaburan”.
Disoal sama ada beliau ada meneliti terma dan syarat sebelum menandatangani perjanjian tersebut, Kadir, yang memegang ijazah undang-undang, berkata beliau mungkin terlepas pandang klausa tertentu.
“Saya mengetahui secara kasar mengenai perjanjian itu, tetapi saya mungkin terlepas pandang beberapa klausa,” katanya.
Dalam notis tuntutan, bekas pemimpin Umno berusia 86 tahun itu mendakwa dakwaan Aliff yang mengatakan beliau berhutang ‘puluhan juta ringgit’ menjejaskan reputasinya dengan serius.
Beliau berkata, Aliff memuat naik hantaran di Instagram pada Julai 2023 yang membayangkan bahawa sebagai seorang bekas menteri, Kadir sepatutnya kaya dan mampu menjelaskan hutang didakwa itu, namun sengaja mengelak dirinya.
Dalam saman difailkan dua tahun lalu oleh firma guaman S Ravichandaran & Anuar, Kadir menuntut ganti rugi am yang akan ditaksirkan mahkamah serta injunksi bagi menghalang Aliff daripada terus menerbitkan kenyataan didakwa berunsur fitnah sedemikian.
Beliau juga menuntut permohonan maaf tanpa syarat untuk diterbitkan di akaun media sosial Aliff serta platform media lain.
Dalam pada itu, Aliff bergantung pembelaan justifikasi, mendakwa Kadir terlibat secara peribadi dalam usaha sama tersebut melalui Buckingham By The Sea Sdn Bhd dan Pembangunan Utara Baru Sdn Bhd.
Pembelaannya telah difailkan pada 25 Okt 2023 oleh firma guaman Hasshahari & Partners.
Aliff berkata, beliau telah melabur RM30 juta dalam usaha sama berkenaan dan Kadir telah memberikan jaminan peribadi memulangkan modal itu, termasuk keuntungan dan faedah.
Perbicaraan bersambung esok.