
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Faizal Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan yang melibatkan kereta Perodua Alza dan Hyundai i30 itu pada pukul 3 petang.
Beliau berkata Alza tersebut membawa enam penumpang dengan dua daripadanya maut, dua lelaki dan seorang perempuan cedera, serta seorang kanak-kanak lelaki, manakala seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki Hyundai i30 juga cedera.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati terdapat dua mangsa tersepit di dalam Alza. PKO mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat dan mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan menaiki ambulans KKM,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut bagaimanapun berkata identiti semua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian.