
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PN tiada individu setanding Muhyiddin dari segi strategi politik.
“Tiada siapa dari PN yang boleh dikatakan sebagai seorang ‘strategist’ setanding Muhyiddin. Peletakan jawatan ini tidak akan menjadikan PN lebih kuat,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, bekas ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata kemelut di Perlis melambangkang kegagalan Muhyiddin selaku pengerusi PN, yang sepatutnya segera bertindak, dan mempersoalkan ketiadaan mesyuarat tentang situasi Perlis dan calon menteri besar.
Susulan cadangan supaya PAS meninggalkan PN, Wan Saiful berpandangan langkah lebih baik adalah parti itu mengambil alih jawatan pengerusi dan melaksanakan pembaikan.
Azmi bagaimanapun tidak yakin kepengerusian PAS akan membawa kesan positif kepada gabungan itu. “Dari sudut kelicikan politik dan atur strategi, PAS bukanlah pemain catur yang baik.”
“Jika PAS boleh hilang Perlis di mana mereka mempunyai majoriti, itu contoh PAS tak ada kepintaran berpolitik. Perkara seperti ini mereka tak boleh elak maka bagaimana nak tadbir PN?”
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Muhyiddin memimpin PN sejak 7 Ogos 2020, ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Bersatu dan PAS perlu mencari suatu titik temu yang boleh dipersetujui jika mahu menyelamatkan PN.
Jika gagal berbuat demikian, katanya, PN akan terus bergolak dan berdepan risiko jumlah kerusi dimenanginya berkurangan.
Beliau turut mengingatkan bahawa akar umbi PAS yang membentuk majoriti penyokong PN akan berpuas hati sekiranya pemimpin mereka mempengerusikan PN.
“Untuk mengelak akar umbi bertelagah, seharusnya PAS dijadikan ketua. Mereka mempunyai mobilisasi yang besar dan sudah teruji serta terbukti boleh melakukan kerja,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan isu jawatan pengerusi akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen.