Ahli MPT berpendapat PAS patut keluar PN, kata sumber

Ahli MPT berpendapat PAS patut keluar PN, kata sumber

Sumber berkata sejumlah ahli MPT berpendapat PAS patut meninggalkan PN bagi meneruskan hasrat mereka menghidupkan Muafakat Nasional bersama Umno.

bendera pas
Sumber berkata mungkin dengan ketiadaan PAS, MCA, MIC dan sejumlah parti lain akan berasa lebih selesa menyertai PN. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Sumber mendakwa sejumlah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang membantah keputusan Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) berpendapat, PAS patut meninggalkan gabungan itu.

Menurut sumber dalam parti, presiden Bersatu itu telah memaklumkan ahli MPT berhubung kesediaannya berundur sebagai pengerusi PN pada bila-bila masa, menyebabkan beberapa pemimpin membantah cadangan berkenaan.

Katanya, sejumlah ahli MPT berpendapat PAS patut meninggalkan PN bagi meneruskan hasratnya menghidupkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

MN ialah pakatan pilihan raya yang dibentuk antara dua parti Melayu terbesar itu pada 2019 bagi menyatukan undi Melayu-Islam.

“Mungkin dengan ketiadaan PAS, MCA, MIC dan sejumlah parti lain akan berasa lebih selesa menyertai PN.

“Bagaimanapun, Muhyididn memaklumkan bahawa beliau telah memuktamadkan keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PN dan berharap ahli-ahli MPT dapat menerima keputusan beliau,” kata sumber itu kepada FMT.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan ini.

Presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu mengetuai PN sejak 7 Ogos 2020, ketika ia didaftarkan secara rasmi.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilaporkan menggesa partinya mengambil alih dan menerajui PN susulan kemelut politik di Perlis.

Beliau menuduh Bersatu bersikap lemah dan mengkhianati rakan gabungan atas kegagalannya mengambil tindakan terhadap lima Adun parti itu menarik sokongan terhadap Shukri.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, Bersatu sama ada telah hilang kawalan terhadap wakil rakyatnya atau merestui tindakan mereka.

Kemelut politik Perlis menyaksikan Adun Sanglang daripada PAS, Shukri Ramli, melepaskan jawatan menteri besar dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.